Majlis Tahlil Sekampung kekalkan ukhuwah kekeluargaan




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Alishahrin Haji Mumin





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 3 Januari. - Perpaduan dalam kalangan penduduk kampung dipupuk dengan adanya pimpinan Ketua Kampung serta kesepakatan dan kerjasama bersama para penduduknya terutama mengendalikan apa jua aktiviti atau acara berjalan seperti yang dirancang.


Meskipun sekarang kita menyaksikan seperti Majlis Tahlil Sekampung dikendalikan mengikut peredaran trend sekarang, namun tujuannya tetap tidak berubah, iaitu bagi mempererat ukhuwah silaturahim dalam kalangan penduduk serta bersama-sama membaca tahlil dan doa khas diniatkan bagi kaum keluarga yang sudah kembali ke rahmatullah.


Acara tahlil anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan melalui Biro Wanita berlangsung di Dewan Serambi Batil, Tarindak D'Seni, Bandar Seri Begawan, di sini.


Majlis berkenaan telah dihadiri seramai 150 orang yang terdiri daripada warga kampung serta ahli keluarga masing-masing.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan isteri. 


Turut hadir, Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Awang Mohammad Khairoul Johani bin Haji Jumat.


Bacaan tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Muhamad Waqiyuddin Fakhri bin Haji Damit.


Menurut Ketua Biro Wanita MPK Bunut Perpindahan, Dayang Nurhudiya Damit, beliau berasa bersyukur kerana majlis telah berjalan dengan sempurna dan menzahirkan penghargaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan bagi tahun ini termasuk kepada penduduk asal yang sudah berpindah.


Jelasnya, semoga dengan adanya majlis seumpama berkenaan dapat lagi memperteguh hubungan para penduduk sekali gus saling bersatu hati bak kata pepatah 'Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh' dan saling menerapkan 'Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing' demi sama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan kampung dan setiap lapisan penduduknya.


Selain itu tambahnya, majlis tahunan berkenaan akan dapat diteruskan lagi sebagai platform bagi semua penduduk kampung dan 'berdang sanak' untuk mengenali dan berjumpa bagi mengekalkan hubungan kekeluargaan yang takkan terputus sampai bila-bila.

Close